BENCANA ALAM TERBURUK DI JOHOR

BLOG INI AKAN CUBA UNTUK MENINJAU DAN MENGKAJI KEBERKESANAN DAN KECEKAPAN PUSAT PEMINDAHAN MANGSA BANJIR DI DAERAH KOTA TINGGI, JOHOR

Khamis, 25 Oktober 2007

Analisis Kajian Terhadap Pusat Pemindahan Mangsa Banjir

Berdasarkan kajian ringkas yang telah dijalankan di sekitar daerah Kota Tinggi yang lalu, terdapat beberapa analisis yang dapat dilakukan berkenaan keberkesanan sekolah untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan bagi mangsa banjir. Ianya dapat dibahagikan mencakupi beberapa aspek seperti kemudahan asas, organisasi pengurusan operasi pusat pemindahan dan agensi kerajaan yang lain.

Dari segi kemudahan, bekalan air bersih dan penyediaan tandas yang mencukupi amat perlu diutamakan dalam sebarang pelan perancangan penambahbaikan pelan pembangunan pusat pemindahan mangsa banjir di masa akan datang. Ini kerana kerap kali terjadi, kemudahan tandas yang disediakan bagi mana-mana mangsa banjir hanyalah bergantung kepada kemudahan tandas yang sedia ada. Jarang terdapat inisiatif daripada mana-mana pihak untuk membekalkan kemudahan tandas mudah alih yang baru dan lebih banyak di pusat pemindahan. Seperti yang kita ketahui, sesebuah pusat pemindahan bagi sebarang bencana kebiasaannya akan menampung jumlah penghuni yang begitu ramai dan sudah tentulah kemudahan tandas sedia ada tidak akan mencukupi. Hal ini sudah tentulah akan mengakibatkan kesesakan penggunaan tandas yang kotor dan tidak bersih yang seharusnya telah dapat dijangkakan lebih awal. Ini akan mengakibatkan risiko penyakit berjangkit seperti taun dan cirit-birit yang dikhuatiri akan menambahkan masalah kesihatan di pusat pemindahan. Suatu model pengurusan dan pembinaan tandas mudah alih yang sesuai untuk kegunaan di pusat pemindahan mangsa banjir harus dirangka untuk membantu kecekapan penambahbaikan untuk pusat pemindahan di masa akan datang. Pelan ini harus mengambilkira keperluan gunatandas yang segera dan boleh dipasang dalam kadar yang singkat bagi membantu meringankan bebanan mangsa banjir yang telah sedia menderita dan menanggung masalah akibat banjir. Penggunaan tandas mudah alih yang digunakan oleh anggota tentera mungkin boleh dijadikan sebagai prototaip asas yang akan membantu untuk dijadikan contoh kepada pembuatan tandas yang sesuai untuk digunakan oleh mangsa banjir.


Selain itu, pengurusan organisasi di sesebuah pusat pemindahan mangsa banjir juga seharusnya diselaraskan dan ditadbir secara berpusat di bawah suatu agensi utama. Ini kerana kerap kali kedengaran keluhan dan rintihan mangsa banjir terhadap aspek bantuan bekalan makanan, wang ehsan dan peralatan rumah yang tidak diberikan dengan adil dan saksama. Hali ini sepatutnya boleh dielakkan sekiranya pendaftaran dan pengurusan kemasukan mangsa banjir diuruskan dengan sistematik dan cermat di pusat pemindahan lagi. Senarai nama penghuni yang lengkap wajib dijadikan suatu keutamaan bagi memudahkan pemberian dan agihan bantuan kepada mangsa banjir oleh mana-mana pihak. Hal ini akan memudahkan sebarang agihan bantuan dan dapat membantu penyaluran bantuan kepada mangsa banjir dengan lebih cekap dan berkesan. Di samping itu, penyediaan suatu agensi penyelaras yang tetap dan dukan bersifat ad-hoc dan kecemasan akan dapat mempertingkatkan keberkesanan organisasi penyelamat dan pemindahan mangsa di masa akan datang. Ini kerana model agensi kecemasan kerajaan ketika ini lebih bersifat sementara dan bergantung kepada arahan dari pihak kerajaan terlebih dahulu. Ini mengakibatkan agensi penyelaras seperti Bilik Gerakan Mangsa Banjir yang sering dibuka oleh kerajaan negeri contohnya apabila berlaku bencana atau kecemasan sahaja akan tidak dapat berperanan dengan cekap dan efektif dalam menghulurkan khidmat bantuan kepada mangsa banjir. Sekiranya agensi penyelaras yang tetap dapat dirancang, ini akan dapat meningkatkan keberkasanan perkhidmatan menyelamat dan membantu sebarang mangsa bencana di masa akan datang.

Di samping itu, analisis kajian yang dijalankan mendapati kebanyakan pusat perkhidmatan mangsa banjir tidak diuruskan oleh kakitangan atau anggota sebarang agensi bantuan kerajaan pada tahap yang teratur, lengkap dan profesional. Ini kerana kebanyakan pusat perkhidmatan mangsa banjir tidak bersedia lebih awal dan tidak terdapat sebarang latihan awal bagi bersedia terhadap sebarang bencana kecemasan yang melanda dijalankan. Ini mengakibatkan kebanyakan orang ramai dan masyarakat keliru dan tidak bersedia dengan sebarang tindakan yang bersesuaian untuk menyelamatkan diri. Selain itu, kelambatan agensi penyelamat kerajaan yang lain menghulurkan bantuan mengakibatkan keadaan yang kelam kabut kepada masyarakat di sekitar Daerah Kota Tinggi. Sewajarnya penggunaan siren kecemasan yang dihebahkan kepada orang awam wajar diperkenalkan bagi memudahkan pergerakan dan pemindahan mangsa banjir dilakukan. Ini kerana orang ramai tidak dapat menjangkakan tahap amaran status bahaya banjir yang dialami dan sekadar banjir yang berlaku adalah sekadar banjir kilat semata-mata. Ini kerana lokasi kawasan Kota Tinggi yang terletak di muara Sungai Johor menyebabkan masyarakat setempat tidak memandang serius kejadian banjir yang berlaku. Oleh itu, dengan adanya pengenalan siren kecemasan akan memudahkan masyarakat setempat untuk bersedia untuk mengambil tindakan yang bersesuaian bagi sebarang pelan kecemasan dan menyelamat yang akan diambil oleh kerajaan