BENCANA ALAM TERBURUK DI JOHOR

BLOG INI AKAN CUBA UNTUK MENINJAU DAN MENGKAJI KEBERKESANAN DAN KECEKAPAN PUSAT PEMINDAHAN MANGSA BANJIR DI DAERAH KOTA TINGGI, JOHOR

Selasa, 9 Oktober 2007

Laporan Kajian Pusat Pemindahan Mangsa Banjir

PENGENALAN

Pada 1 September hingga 3 September yang lepas, satu program kerja lapangan telah diadakan di pekan Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Aktiviti ini dijalankan oleh pelajar-pelajar kursus Urbanisasi dan Pembangunan Bandar, Universiti Kebangsaan Malaysia. Objektif utama kerja lapangan ini diadakan adalah untuk mengkaji impak pasca banjir yang berlaku pada awal tahun 2007 kepada penduduk-penduduk yang terlibat. Para pelajar telah dibahagikan kepada 11 kumpulan dan memfokuskan kepada tajuk-tajuk tertentu. Kami, dari kumpulan We Are Concern ( WAC) telah memilih pusat pemindahan banjir sebagai skop kajian utama kami. Diharapkan fokus kajian kami ini akan memberikan alternatif dan cadangan kepada sebarang penambahbaikan atau pemulihan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam bencana banjir di masa akan datang.
Kami telah mengedarkan borang soal selidik kepada 30 orang responden di Kota Tinggi yang dipilih secara rawak bagi mendapatkan pandangan, cadangan dan persepsi mereka terhadap keberkesanan dan kecekapan pusat pemindahan banjir di kawasan Kota Tinggi. Berdasarkan temu ramah yang dijalankan, kami telah membahagikan bentuk soalan kepada lapan persoalan yang merujuk kepada persepsi penduduk terhadap pusat pemindahan banjir yang telah didiami oleh mereka semasa kejadian bencana alam tersebut yang berlaku pada awal tahun ini. Ia dibahagikan kepada aspek tahap keselesaan, tahap keselamatan, kecekapan petugas di pusat pemindahan, keperluan asas dari segi tempat tidur dan tandas, bekalan makanan serta bekalan air bersih yang mencukupi. Di akhir soalan borang soal selidik kami, kami cuba mendapatkan pandangan responden terhadap keberkesanan sekolah untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan banjir di masa akan datang.
Persepsi Penduduk Terhadap Keberkesanan Pusat Pemindahan Mangsa Banjir

Setelah analisis dijalankan terhadap kesemua soalan temu ramah yang telah diedarkan, terdapat persepsi yang tidak konsisten oleh responden antara keberkesanan sekolah sebagai pusat pemindahan dengan aspek-aspek yang lebih spesifik dan asas tentang pusat pemindahan. Daripada 30 orang, responden yang menjawab kajian, seramai 21 orang mengakui keberkesanan sekolah sebagai pusat pemindahan, 7 orang tidak bersetuju dengan pasti pernyataan tersebut manakala 2 orang lagi tidak pasti terhadap adakah sekolah berkesan untuk dijadikan pusat pemindahan. Dapatan kajian yang berbeza-beza ini adalah disebabkan semasa kejadian banjir, tidak kesemua responden telah menginap di sekolah sebagai pusat pemindahan. Ini kerana terdapat responden yang menghuni di rumah saudara-mara atau dewan orang ramai. Manakala dari aspek keselesaan, terdapat 19 orang bersetuju dengan pernyataan tersebut manakala 11 orang lagi pula tidak bersetuju dengannya. Sementara itu, 25 orang responden berpuas hati dengan tahap keselamatan di pusat pemindahan, 4 orang tidak berpuas hati manakala hanya seorang sahaja yang tidak pasti dengan kepuasan terhadap aspek keselamatan tersebut. Dari aspek kecekapan petugas, cuma terdapat 2 orang responden sahaja yang tidak berpuas hati manakala bakinya mengakui kecekapan petugas menjalankan tugas semasa kejadian tersebut berlaku. Dari aspek bekalan makanan dan air bersih, rata-rata berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan walaupun terdapat cadangan yang mengesyorkan agar disediakan tandas bergerak dan mudah alih yang boleh disediakan pihak tentera kerana jumlah tandas yang sedikit di kebanyakan pusat pemindahan menyukarkan mereka.

Secara keseluruhannya, para responden tidak dapat mencadangkan sebarang alternatif lain untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan. Bagaimanapun, terdapat pandangan agar lokasi sebarang pusat pemindahan dipindahkan ke Kg. Maamor kerana kedudukan geografi kampung tersebut yang lebih tinggi dari kawasan sungai berbanding Kg. Tembioh, Kg. Kelantan atau pekan Kota Tinggi yang kesemuanya agak rendah dan berisiko tinggi untuk ditenggelami air. Kesimpulannya, dapatan kajian yang dibuat melihat bahawa walaupun sekolah tidak berkesan secara sepenuhnya sebagai pusat pemindahan, tetapi ia adalah satu-satunya pilihan terbaik untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan kerana lokasi yang ada di kebanyakan kampung serta struktur fizikal sekolah yang bertingkat membolehkan tingkat di bahagian atas dijadikan sebagai pusat penginapan.

Pusat Pemindahan Mangsa Banjir

Kawasan tumpuan kajian yang dijalankan iaitu kampung Kelantan menunjukkan bahawa hampir keseluruhan penduduk tinggal di dewan-dewan sebagai petempatan sementara semasa berlaku banjir. Kebanyakan penduduk tinggal di Dewan Jubli Intan Kota Tinggi, Dewan Raya Taman Kota Jaya, malah ada juga penduduk yang tinggal di Sekolah Menengah Agama (Arab) Kota Tinggi. Kawasan ini dikelaskan sebagai Zon A iaitu mukim bandar.

Seperti diketahui umum, dewan dijadikan tempat petempatan sementara kerana keupayaannya yang dapat menampung sebilangan besar penduduk sesuatu kawasan malah meliputi beberapa kawasan. Dewan Jubli Intan Kota Tinggi misalnya, meliputi kawasan-kawasan seperti kawasan bandar, Kampung Tembioh, Kampung Kelantan, Kampung Panti, Taman Kuso, Taman Kemang, dan Jalan Omar. Dewan Raya Taman Kota Jaya misalnya meliputi kawasan Taman Kota Jaya, manakala Sek. Men. Agama (Arab) meliputi kawasan bandar. Dua buah pusat yang lain pula seperti Sek. Men. Keb. Laksamana dan Sek. Men. Keb. Tun Habab tidak akan digunakan sebagai pusat pemindahan banjir sekiranya banjir berlaku semasa peperiksaan SPM/STPM.

Mengikut data-data yang kami ambil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kota Tinggi, terdapat 16 buah pusat petempatan banjir di kawasan Zon A iaitu Mukim Bandar meliputi sekolah-sekolah dan juga dewan-dewan. Had muatan penduduk adalah berbeza-beza iaitu dari 50 orang hinggalah kepada 850 penduduk. Antara jabatan atau pertubuhan sukarela yang terlibat membantu menyelenggara pusat ialah Setiausaha MDKT, pengetua, guru besar dan ketua kampung. Antara dewan yang mempunyai kapasiti yang besar ialah Dewan Jubli Intan Kota Tinggi, Dewan Raya Taman Kota Jaya dan Dewan Serbaguna Kota Kecil, iaitu seramai 850 orang dalam satu dewan dan tidak hairanlah apabila boleh dikatakan hampir keseluruhan penduduk kampung Kelantan tinggal di dewan ini semasa banjir melanda. Pusat lain seperti Sek. Men. Teknik Kota Tinggi, dan Sek. Men. Agama (Arab) pula mencatatkan had muatan seramai 500 orang. Dua daripadanya memuatkan 400 orang iaitu Sek. Men. Tun Habab dan Sek. Men. Keb. Laksamana. Selebihnya ialah 3 buah daripadanya dapat memuatkan seramai 300 orang iaitu Sek. Keb. Laksamana, Dewan Raya Kampung Makam dan Sek. Ren. Agama Bersepadu. Manakala pusat yang memuatkan bilangan kecil 50 hingga 200 orang ialah Sek. Jen. Keb. Cina New Kota, Sek. Jen. Keb. Tamil Jalan Tajul, Sek. Keb. Bukit Lintang, Balai Raya Kampung Lukut Kota Tinggi, dan Dewan Teratai Batu 4.

Apabila terdapat amaran mengenai hujan dan angin kencang, antara langkah terawal yang dilakukan oleh agensi yang terlibat ialah menyediakan pusat-pusat pemindahan ini untuk digunakan serta dapat memberikan perkhidmatan yang baik dan selesa kepada mangsa banjir. Dewan-dewan ini diurus oleh petugas yang terlibat samada dari segi keperluan dan masalah yang berkaitan. Penduduk didaftarkan terlebih dahulu sebelum diletakkan atau dimasukkan dalam sesuatu petempatan bagi memudahkan urusan dan mengelakkan daripada berlaku sesuatu yang tidak diingini. Penduduk diletakkan mengikut keluarga dan mereka diberi tilam, bantal dan juga barangan keperluan yang lain.

Semasa menetap di dewan, penduduk dibekalkan dengan kelengkapan seperti tilam, bantal, dan tikar memandangkan penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan mereka. Kemudahan asas yang disediakan juga boleh dikatakan memuaskan. Tetapi masih terdapat kekurangannya kerana penduduk terutamanya wanita mengadu tidak berpuas hati dengan tandas. Dengan bilangan wanita yang lebih ramai daripada lelaki sudah pasti 2 tandas bagi satu-satu dewan tidak mencukupi. Walau bagaimanapun dari segi makanan, keselamatan, bekalan air bersih penduduk tidak menghadapi masalah.

Setiap hari penduduk dibekalkan dengan teh, kopi, gula, biskut, dan roti bagi setiap orang untuk sarapan pagi. Manakala bagi makanan tengahari dan malam penduduk diberi beras, lauk (sardin ,telur, ikan kering, daging, daging ayam, dan ikan basah), sayur dan rencah seperti minyak kelapa, kelapa parut, garam, kicap, lada kering, belacan, asam jawa, rempah, bawang merah, dan bawang putih. Malah pada awal-awalnya penduduk diberi bantuan makanan segera iaitu nasi bungkus untuk seorang berharga tidak lebih dari pada RM5.00. Boleh dikatakan keperluan penduduk yang tinggal di pusat petempatan sementara ini ditanggung dan diberikan secukupnya.

Keberkesanan dewan dijadikan sebagai tempat pemindahan banjir dapat ditonjolkan apabila rata-rata penduduk berpuas hati dengan fungsi, layanan dan perkhidmatan yang diberikan tanpa mengira bangsa dan agama.

Proposal Kajian Pusat Pemindahan Di Daerah Kota Tinggi

Tajuk Penyelidikan. Persepsi penduduk terhadap kualiti perkhidmatan pusat pemindahan mangsa banjir

Abstrak: Sekolah sebagai sebuah pusat pemindahan mangsa-mangsa banjir mungkin tidak lagi relevan pada masa kini. Nasib penduduk yang malang kerana terpaksa berdepan dengan krisis bencana alam tidak berakhir begitu sahaja kerana terpaksa pula berdepan dengan keadaan yang tidak selesa dan menyulitkan di pusat pemindahan sementara. Oleh itu,kami ingin mengenalpasti apakah aspek-aspek yang boleh diperbaiki dan dipertingkatkan di pusat pemindahan sementara bagi mangsa banjir di masa akan datang. Dalam konteks kajian ini,kami akan menumpukan sekolah sebagai skop kajian dan pengumpulan data.


Matlamat Kajian: Persepsi Penduduk Terhadap Kualiti Perkhidmatan Pusat Pemindahan

Mangsa banjir Daerah Kota Tinggi merupakan salah satu daerah di negeri Johor yang mengalami banjir teruk pada hujung tahun 2006 yang lalu. Semasa banjir melanda, mangsa-mangsa banjir telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan seperti di dewan-dewan orang ramai dan sekolah-sekolah berdekatan. Di dalam kajian ini, kami ingin mengkaji sejauh manakah sesebuah kawasan sekolah lebih sesuai untuk dijadikan pusat pemindahan sementara bagi mangsa-mangsa banjir. Selain itu, kami juga ingin melihat keberkesanan pengurusan logistik sekolah dalam menangani kehadiran sejumlah besar mangsa banir yang datang dalam keadaan keletihan dan memerlukan bantuan. Di akhir kajian, kami ingin melihat dan mengkaji sebarang penambahbaikan yang boleh dilakukan pada masa akan datang dalam menangani isu banjir sekiranya ia mungkin berulang lagi.


Isu-Isu Di Dalam Meninjau Pusat Pemindahan Mangsa Banjir

Kemudahan dan keperluan asas yang tidak mencukupi bagi mangsa banjir
Pengurusan logistic dan staff di sesebuah pusatpemindahan


Objektif Kajian

Mengkaji keberkesanan sekolah sebagai penempatan bagi mangsa banjir
Mengkaji tahap keselesaan mangsa banjir di pusat pemindahan
Mengkaji kecekapan pengurusan pusat pemindahan banjir
Mengkaji penyediaan kemudahan asas dan makanan di pusat pemindahan samada ianya mencukupi dan sesuai untuk mangsa banjir.


Skop Kajian

Sebanyak 30 borang soal selidik akan diedarkan kepada penduduk Kg. Kelantan yang telah ditempatkan di pusat pemindahan semasa banjir.
Data Sekunder berkenaan pusat pemindahan mangsa banjir pula akan diambil dari Pejabat Daerah dan Tanah Kota Tinggi, Johor.


Metodologi Kajian

Soal selidik
Temu ramah
Kajian Data Sekunder

LOKASI DAERAH KOTA TINGGI