BENCANA ALAM TERBURUK DI JOHOR

BLOG INI AKAN CUBA UNTUK MENINJAU DAN MENGKAJI KEBERKESANAN DAN KECEKAPAN PUSAT PEMINDAHAN MANGSA BANJIR DI DAERAH KOTA TINGGI, JOHOR

Ahad, 30 September 2007

Proses Pembangunan Bandar yang Diterajui Oleh Kerajaan


Apakah Putrajaya dapat membangun seperti yang kita lihat pada hari ini tanpa penglibatan sepenuhnya dan pelaburan secara besar-besaran oleh kerajaan? Walaupun peranan Putrajaya sememangnya dapat menjadi satu simbolisme kepada era pembangunan yang telah dicapai oleh kerajaan, tetapi ianya telah menjadi satu legasi kepimpinan dan meninggalkan jurang antara Lembah Klang dengan kawasan lain di Malaysia. Pelaburan mencecah ratusan juta yang telah dibelanjakan harus dikaji dan dinilai implikasinya ke atas pembangunan kawasan-kawasan yang jauh lebih mundur di negara ini.

5.Mentaliti dan Taraf Akademik Penduduk Tempatan Yang Masih di Rendah

Persediaan dan kesanggupan masyarakat di sesuatu kawasan atau Bandar untuk berubah seiring dengan kepesatan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan amat penting dalam menentukan pembangunan imej dan status sesebuah Bandar. Hal ini kerana ciri-ciri dan nilai sosial yang perlu dipegang oleh sesebuah masyarakat samada di bandar atau desa yang akan menentukan sejauh manakah proses pembandaran di sesuatu kawasan akan berjalan seperti yang dirancang. Hal ini dilihat menjadi punca mengapa Seri Iskandar tidak berupaya untuk membangun menjadi sesebuah bandar industri seperti yang dirancang. Ini kerana masyarakat di sini masih berpegang kepada ciri-ciri tradisonal dan lama yang sudah tentulah tidak sesuai dalam pemikiran masyarakat yang seharusnya lebih moden dan terkini. Bukanlah niat saya ingin memperlekehkan mentaliti masyarakat di sini tetapi sewajarnya mereka harus bersedia untuk berubah ke arah nilai-nilai baru yang bakal mencerminkan persediaan masyarakat untuk berubah. Ini dapat dilihat menerusi struktur dan imej kawasan perumahan di RPA Seri Iskandar misalnya yang kelihatan seolah-olah kawasan perkampungan sahaja. Amaran Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) yang tidak membenarkan penternakan haiwan dan penanaman pokok-pokok besar dan kekal seperti pokok pisang dan pokok kelapa di sekitar kawasan kediaman dipandang sepi dan ini memberikan pandangan negatif dari orang luar terhadap masyarakat di sini. Di samping itu, kebanyakan individu yang berhijrah ke Seri Iskandar di awal penubuhannya sekitar 1995 terdiri dari mereka yang tidak berpendidikan tinggi, kurang kemahiran dan pengalaman, serta belum bersedia untuk menjadi seorang warga Bandar yang sebenarnya. Ini mengakibatkan meraka gagal untuk mencapai jawatan atau pel,uang pekerjaan yang tinggi dan lumayan serta tidak mampu membentuk untuk membentuk iklim sosioekonomi yang mampu menarik pihak luar datang ke sini. Proses pembandaran memerlukan masyarakat tempatan yang bersedia untuk berubah kea arah nilai-nilai, norma-norma dan struktur masyarakat kea arah yang lebih moden tanpa meninggalkan terus budaya lama untuk disesuaikan dengan persekitaran baru.

4.Kekurangan Peluang Pekerjaan Kepada Penduduk Dalam Sektor Perindustrian

Peluang pekerjaan yang banyak dalam sektor perkilangan adalah merupakan daya penarik utama kepada migrasi masuk tenaga buruh mahir dan tidak mahir dakam sektor teknikal dan industri. Ini dapat dilihat dari segi pembangunan bandar-bandar berorientasikan industri di Malaysia seperti Pasir Gudang, Senawang, Mak Mandin, Bayan Lepas, Petaling Jaya dan Shah Alam. Kemasukan pelaburan dari syarikat-syarikat asing seperti Hitachi, Intel, Samsung, Sony dan pelbagai syarikat multinasional lain telah mencetuskan revolusi dalam bidang industri elektronik dan mencetuskan peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kegagalan pemaju industri di Seri Iskandar untuk menarik gergasi industri untuk membuat pelaburan di sini menyebabkan ketiadaan peluang pekerjaan yang dapat ditawarkan kepada penduduk. Ini mengakibatkan Seri Iskandar gagal untuk menarik golongan belia dari kawasan sekitar untuk berhijrah ke sini kerana tiada jaminan peluang pekerjaan yang dapat ditawarkan seperti di Bandaraya Ipoh dan Manjung. Ini dapat dilihat melalui lot-lot kilang di Taman Perindustrian Seri Isakandar yang tidak terjual dan kini hanya dipenuhi lalang semata-mata. Kesilapan kerajaan negeri yang cuba memfokuskan kawasan ini sebagai berorientasikan bidang farmaseutikal industri dilihat antara faktor mengapa kawasan perindustrian di sini gagal menarik kehadiran pelabur. Kehadiran kilang ubat SAFIRE INDUSTRIES yang beroperasi secara tunggal sebagai kilang yang berorientasikan farmaseutikal membuktikan kesilapan kerajaan yang cuba menjadikan bidang tersebut sebagai keutamaan kepada pembangunan kawasan ini. Ini mengakibatkan belia-belia yang dibesarkan di sini terpaksa menganggur atau menjawat jawatan pekerjaan yang tidak menjajanjikan pendapatan yang tetap dan stabil. Maka, penduduk asal di Seri Iskandar tidak mempunyai jalan lain selain berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mengejar peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebuh terjamin dan tetap.

3.Proses Pembandaran yang hanya Bergantung Kepada Kerajaan Sahaja

Proses pembangunan bandar yang sempurna dan efektif memerlukan gabungan kerjasama pelaburan dari sektor kerajaan dan swasta yang seiringan. Kehadiran suntikan dana dan modal dari sektor swasta mampu menyokong pelaburan dari segi infrastruktur dan prasarana yang telah disediakan oleh kerajaan. Sebahagian besar masalah yang dialami oleh Bandar Seri Iskandar adalah akibat kurangnya penglibatan dan pelaburan modal yang ditanam oleh sektor swasta di sini. Dari segi peruntukan kerajaan, menyediakan kemudahan asas dan fizikal sahaja sudah menelan kos kewangan yang besar dan kerajaan tidak mampu bersendirian dalam mambangunkan dan memajukan sesebuah Bandar. Walaupun niat kerajaan untuk melaksanakan dasa penyelerakan pembangunan adalah baik, tetapi perkara ini adalah tidak mudah dirancang dan dilaksanakan. Dengan mengambilkira Bandaraya Ipoh sebagai model, terdapat pelbagai contoh mengapa Bandaraya tersebut jauh membangun daripada Bandar-bandar lain di Perak. Penemuan bahan mentah bijih timah serta penekanan pembangunan yang diberikan oleh kerajaan British telah menjadikan Ipoh lengkap dari segi kemudahan prasarana dan fizikal serta kemajuan dalam sector peruncitan dan perniagaan. Berbeza dengan Seri Iskandar, ianya dibina dari kawasan yang dahulunya adalah hutan belantara dan pelan pembangunan yang dirancang harus bermula dari sifar dan kos yang besar. Di samping itu, migrasi masuk yang ramai dari kaum Cina dan India ke Ipoh turut membawa bersama kuasa beli dan kemahiran dan skil perniagaan yang membantu pembangunan bandaraya tersebut. Manakala di Seri Iskandar, kehadiran kaum Melayu yang menguasai sekitar 95 peratus dari keseluruhan jumlah penduduk dilihat antara faktor yang menyumbang kepada kuasa beli yang rendah di sini.

2.Kekurangan penduduk yang Mempunyai Kuasa Beli Tinggi

Pembangunan sesebuah bandar yang berkesan dan lengkap memerlukan kehadiran sumber tenaga mahir yang berpendapatan tinggi dan mempunyai taraf akademik yang baik bagi menyokong sebarang perkhidmatan atau servis yang disediakan oleh pihak kerajaan dan menarik pelaburan dari pihak swasta. Kehadiran pekerja yang mempunyai status kewangan ekonomi yang stabil dan kuasa beli yang kuat akan memajukan sektor perbankan, perkhidmatan, perniagaan dan pelbagai sektor komersil lain yang amat bergantung penuh kepada pengguna. Bagaimanapun, hal ini tidak berlaku di Seri Iskandar kerana jumlah penduduk dari golongan kelas menengah dan tinggi amat kurang dan hanya mengharapkan penduduk yang terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan peneroka di Tanah Rancangan Felcra Nasaruddin dan kawasan-kawasan kampung di sekitarnya yang kebanyakannya bekerja sebagai petani, buruh am, pekerja kilang dan staf sokongan dan rendah di sektor kerajaan. Seperti yang diketahui, pekerjaan sebegini mempunyai kuasa beli yang lemah dan ini menjadi punca mengapa sektor swasta enggan melabur dalam bidang perkhidmatan dan servis di Seri Iskandar. Ini dapat dilihat melalui lot-lot kedai yang dibina oleh pemaju perumahan atau agensi kerajaan yang tidak terjual dan terbiar.

1.Krisis Ekonomi Serantau yang Melanda Asia Tenggara pada tahun 1997.

  • Kejatuhan nilai matawang kebanyakan negara di Asia Tenggara yang turut dialami oleh Malaysia telah mengakibatkan impak negatif kepada pembangunan yang telah dirancang. Status sebagai rantau yang paling pesat membangun di dunia dan menarik kehadiran para pelabur dari Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun kini telah hilang dan aliran kemasukan modal pelaburan yang telah dijanjikan tersekat. Ini telah mengakibatkan kesan yang besar terhadap pembangunan Bandar Seri Iskandar di Perak.
    Pelan perancangan yang dirangka berteraskan pelaburan modal dari syarikat-syarikat konglomerat dan multinasional (MNC) dari dalam dan luar negara tidak menjadi kenyataan dan mengganggu pertumbuhan bandar ini. Sebagai contohnya, projek Taman Teknologi Seri Iskandar yang dirangka untuk menjadi hub kepada pembangunan sektor penyelidikan dan pembangunan ( R&D) kepada pelbagai syarikat yang berintensifkan teknologi industri dan saintifik kini terpaksa ditukar kepada tapak bagi projek perumahan semata-mata. Ini adalah kesan utama daripada krisis kegawatan ekonomi yang telah melanda dan mengakibatkan kerajaan Negeri Perak gagal dalam usaha untuk merealisasikan hasrat menjadikan Seri Iskandar sebagai model pembangunan bandar industri yang berjaya. Seri Iskandar tidak membangun seperti yang dirancang akibat ketiadaan kemasukan modal teroka yang pada skala yang besar dan ekonomi serta menjadikannya tidak jauh berbeza dengan bandar-bandar lain di Malaysia.

Faktor- Faktor Yang Mengakibatkan Pembangunan Bandar Baru Seri Iskandar Tidak Membangun Seperti Yang Dirancang

1.Krisis Ekonomi Serantau yang Melanda Asia Tenggara pada tahun 1997.
2.Kekurangan penduduk yang Mempunyai Kuasa Beli Tinggi
3.Proses Pembandaran yang hanya Bergantung Kepada Kerajaan Sahaja
4.Kekurangan Peluang Pekerjaan Kepada Penduduk Dalam Sektor Perindustrian
5.Mentaliti dan Taraf Akademik Penduduk Tempatan Yang Masih di Rendah

Ahad, 23 September 2007

BANDAR SERI ISKANDAR: FAKTOR YANG MENGHALANG KEPESATAN PEMBANGUNAN BANDAR IN

Bandar ini merupakan antara bandar baru yang telah dirancang oleh kerajaan pada sekitar awal 1990 an yang bertujuan merancakkan kepesatan pembangunan ekonomi oleh Kerajaan negeri Perak. Terletak di daerah Perak Tengah, ianya dirangka bagi menjadi hub pertumbuhan institusi pendidikan dan pengajian tinggi bagi merancakkan sektor ekonomi bagi penduduk di kawasan sekitarnya seperti Bota, Parit, Tronoh, Titi Gantong, Kg. Gajah dan Lambor. Oleh itu, penulis akan cuba untuk meninjau pembangunan Bandar Seri Iskandar dari konteks penulis sebagai penduduk asal di bandar ini. Ingin disebutkan di sini, bahawa penulis tinggal di Rancangan Perumahan Awam Seri Iskandar bermula dari tahun 1997 sehingga kini. Oleh itu, mungkin wacana penulis tidak menitikberatkan data rasmi dan formal serta lebih cenderung kepada persepsi dan pandangan penulis semata-mata

Bandar Seri Iskandar mula dibangunkan sekitar tahun 1995 dengan matlamat bagi membangunkan kawasan Perak Tengah yang dilihat agak mundur dari daerah lain di negeri Perak seperti daerah Kinta dan daerah Manjung yang berkembang begitu pesat. Ini mengakibatkan kebanyakan penduduk di daerah ini telah berhijrah ke daerah tersebut bagi mengejar peluang pekerjaan dan mencapai taraf pendidikan yang lebih baik. Kawasan penempatan seperti Kg. Kuchai, Kg. Changkat Cermin, Kg. Serapoh atau Kg. Pulau Padang misalnya telah ditinggalkan oleh golongan belia dan dan ini mengakibatkan banyak kawasan tanh pertanian terbiar begitu sahaja. Maka kawasan Seri Iskandar telah dipilih untuk cuba dibangunkan oleh kerajaan negeri untuk menjadi kawasan bandar baru yang mampu menarik pera belia untuk tidak berhijrah dari kampung masing-masing. Ini kerana kedudukannya yang dilihat agak strategik dan dan terletak di tengah-tengah antara daerah ini serta terletak di antara jarak perjalanan jalan raya antara Bandaraya Ipoh dan Bandar Lumut menjadikan ianya lebih ekonomikal untuk dijadikan hub pembangunan di daerah ini berbanding tempat-tempat lain. Maka. beginilah serba sedikit sejarah ringkas Bandar Baru Seri Iskandar dari serba sedikit pengetahuan penulis semenjak tinggal di kawasan ini bermula dari usia 12 tahun sehingga kini.

Kesan Pembangunan Terhadap Institusi Keluarga

Pembangunan telah membawa pelbagai implikasi terhadap institusi keluarga di Malaysia. Peningkatan peluang kerjaya bagi golongan wanita telah memberikan dimensi baru dalam struktur keluarga dari konteks peranan ibu bapa yang tradisi. Penjagaan anak-anak kini telah menjadi suatu peluang perniagaan kerana golongan ibu kini tidak lagi terhad terhadap fungsi membesarkan dan mendidik anak-anak sahaja. Anak-anak kini telah dibesarkan oleh samada pembantu rumah ataupun pusat-pusat penjagaan swasta dan peranan ibu telah menjadi sebagai pembekal sumber ekonomi juga terhadap pendapatan kewangan sesebuah keluarga. Walaupun senario ini memberikan kesan positif terhadap meningkatkan taraf ekonomi sesebuah keluarga, ia juga turut meninggalkan kesan buruk terhadap pengaruh yang meninggalkan kesan kepada anak-anak. Peranan ibu bapa dan pengaruh besar yang sepatutnya dididik kepada anak-anak, kini diserahkan bulat-bulat kepada individu lain( pembantu rumah atau pekerja di pusat penjagaan swasta. Maka, anak-anak akan terdedah kepada pelbagai pengaruh luar samada positif atau negatif yang akan menentukan corak pembesaran mereka di masa akan datang. Golongan ibu bapa yang berkerjaya akan mengurangkan masa produktif bersama ahli keluarga dan menjarakkan jurang pemisah kepada anak-anaknya. Masa yang dihabiskan di tempat kerja terlalu lama akan mengakibatkan bebanan dan tekanan akan dibebankan di dalam rumah. Walaupun begitu, kesan pembangunan ekonomi yang terlampau pesat turut akan memberikan kesan kepada institusi keluarga yang tidak mampu mengikuti arus pembangunan tersebut. Ini akan menyebabkan faktor kemiskinan dilihat akan menjadi faktor utama kepada pengaruh masalah gejala sosial yang melanda keluarga di Malaysia. Ini dapat dilihat dalam aspek masalah lumba haram yang melanda di Malaysia. Kajian menunjukkan masalah ini lebih banyak berlaku di kalangan remaja yang terdiri daripada golongan keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana. Ruang rumah yang sempit serta ketiadaan aktiviti yang bermakna bersama ahli keluarga dijadikan alasan kepada kebanyakan mat rempit untuk menghabiskan masa dengan memperjudikan nyawa di atas jalan raya.